Kelebihan 10 Malam Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum..

  Sedar tak sedar, kita hampir ke sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sesungguhnya bulan ramadan ini bukan saja bulan untuk kita menahan lapar dan dahaga tetapi disediakan juga malam-malam yang mulia untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah swt dengan melakukan Qiyam Ramadan. Malah apabila berada dibulan Ramadhan, Allah menyediakan kepada kita malam kemuncak ibadah yang disebut sebagai sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan.



  Sesungguhnya sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan adalah malam-malam yang paling mulia. Sepuluh malam terakhir ini dianggap mulia atas dua sebab:

1)      Nabi saw akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan.
Dalam hal ini Nabi saw telah bersabda: 
“Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada pengakhirannya, sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hari apabila aku bertemu dengan-Mu”. (Direkodkan oleh al-Haithami dalamMajma’ al-Zawaid).
Pengajaran yang didapati daripada hadith ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga dengan ibadah-ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan terutama apabila telah memasuki sepuluh malam yang terakhir. Adalah sedikit mendukacitakan apabila seseorang hamba memulakan ibadah-ibadah hanya pada malam-malam awal dan pertengahan Ramadhan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam sepuluh terakhir. Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya.

2)      Terdapat padanya malam Lailatul Qadr.
Dalam Surah al-Qadr Allah swt telah menceritakan kelebihan malam Lailatul Qadr dengan firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr. Adakah kamu mengetahui apakah malam Laitul Qadr? Malam Lailatul Qadr itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam Lailatul Qadr) sehingga terbitnya fajar.” (Surah al-Qadr 1-5).
Dalam sebuah hadith Nabi saw telah bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” (Direkodkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya).

  Atas dua sebab ini, sepuluh malam terakhir dibulan Ramadhan sangat istimewa. Pada sepuluh malam terakhir ini juga, Allah meminta kita supaya sabar dan terus beribadah dalam mengejar malam Lailatul Qadr. Moga kita antara insan terpilih dapat berjumpa malam Lailatul Qadr itu..insyaAllah.. Amin..












0 comments:

Post a Comment