Tips Mendidik Anak Solat

Assalamualaikum..

  Seingat saya, saya mula mendidik anak saya Amna untuk solat sejak dia berusia 2tahun setengah lagi ketika dia sudah lancar berkata-kata. Macamana saya mendidik dia solat, segalanya bermula dengan saya sendiri. Saya kena berikan contoh pada dia, solat pada awal waktu dan beritahu dia kenapa kita perlu solat.
Amna Qurratulaini Dwidad 


  Yang istimewanya Amna, kerana sentiasa lihat saya solat, dia sendiri yang bertanya pada saya, Ümmi, kenapa ummi kena solat?". Untuk soalan yang keluar dari anak yang berusia 2tahun setengah ketika itu, saya sedikit kagum kerana keinginan dia untuk mengetahui keperluan solat itu sudah ada. Jadi saya terangkan kepentingan solat itu pada dia. Bahawa betapa solat itu sangat penting untuk kehidupan harian.

  Bila saya lihat keinginan Amna untuk belajar solat, saya praktikkan beberapa tips-tips dibawah agar dia dapat mempraktikan solat bersama saya dalam setiap waktu solat:

Tips 1 : Dengarkan laungan azan
Kebiasaanya apabila azan berkumandang di tv, saya akan biarkan azan tersebut sehingga tamat. Saya nasihatkan Amna untuk mendengar azan dan menyahut azan. Mungkin agar sukar untuk dia menyahut azan, tapi insyaAllah, perlahan-lahan dia akan belajar nanti

Tips 2:  Ajar Berwudu'
Fitrah kanak-kanak memang suka main dengan air. Ketika saya berwudu'saya akan suruh Amna lihat cara saya mengambil wudu'. Pada peringkat permulaan, Amna akan ikut setiap tingkahlaku saya, lama kelamaan, Amna sendiri sudah boleh mengambil wudu' sendiri. Walaupun dia masih belum pandai membaca niat, insyaAllah, satu masa nanti dia akan belajar perlahan-lahan

Tips 3: Solat Berjemaah
Memandangakan hanya saya dan Amna saja dirumah, jadi cara yang terbaik untuk saya ajar dia solat adalah dengan mengerjakan solat berjemaah bersama-sama. Kanak-kanak memang lah tak sempurna kedudukan solat mereka, tapi ini adalah satu permulaan untuk mereka mencintai solat. Ada masa saya tak habis solat, dia dah habis solat dah, tapi itu normal bagi seorang kanak-kanak.

Tips 4: Doa selepas solat
Saya selalu katakan pada Amna, pentingnya solat ini, kerana masa solat inilah kita boleh berdoa dan meminta pada Allah, kerana Allah maha pemberi dan maha mendengar. Apa pun yang kita minta, kita perlu minta dengan Allah. Walaupun masih tak tahu berdoa, setiap kali saya berdoa, Amna akan dengar setiap bait doa saya sehingga habis.

Tips 5: Ajar wirid dan zikir
Kadang kala perlu untuk kita kreatif dalam memupuk minat anak untuk berzikir. Contoh yang saya gunakan, memasang lagu-lagu zikir yang mempunyai rentak yang menarik minat anak untuk mendengarnya.

Tips 6: Beri pujian
Kanak-kanak fitrnahnya memang suka dipuji. Jadi setiap kali bila Amna berjaya menghabiskan solat bersama-sama saya, saya suka memujinya. Saya sentiasa katakan padanya bahawa dia anak yang baik, rajin solat, anak yang solehah dan ikut perintah Allah. Sudah pastinya bila mendapat pujian seperti itu, anak akan teruja untuk solat berjemaah lagi

Tips 7: Belikan telekung
Kanak-kanak memang suka dengan warna. In fact, untuk telekung Amna sendiri, saya tanya dia, telekung warna apa yang dia minat. Memang nampak kegembiraan pada matanya saat menerima telekung dari saya. Dan untuk memberikan semangat solat berjemaah, saya pun memakai telekung dengan warna yang sama.

Tips 8: Jangan paksa anak
Pada usia sebegini, perlu untuk pupuk minat anak untuk solat. Jangan terlalu mendesak agar anak solat sekali. Pujuk anak perlahan-lahan, beritahu dia betapa pentingnya solat dan betapa Allah sayangkan hamba-Nya yang solat, betapa besar pahala yang Allah berikan pada mereka yang solat

Tips 9: Ajak anak ke masjid dan surau
Sedari saya mengandungkan Amna lagi, saya suka ke masjid untuk solat berjemaah. Setelah Amna berusia 2tahun, saya sudah mula mengajak dia ke masjid untuk solat berjemaah. Alhamdulillah, Amna mengikut saya solat walaupun dia tak fokus...maklumlah budak-budakkan, kalau nampak budak-budak lain berlari dalam masjid, pasti akan menarik perhatiannya.

  Ini cuma secebis perkongsian saya mendidik anak saya untuk solat. Saya masih lagi dalam proses pembelajaran. Harapan saya seperti juga ibubapa yang lain, mendoakan agar anak kita nanti menjadi saham akhirat kita kelak. InsyaAllah..amin..


Salam Sayang,


0 comments:

Post a comment